Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu
bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu
merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat
pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan.
Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah
diberikan secara adil, lebih-lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak.
Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie)
berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian
yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya,
walaupun pemberian itu sah.
Bagi Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada
sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat
menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat
sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut.
Menurut Mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian
hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib.
Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi
hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.
Menurut pendapat Hanafi, Syafii, Maliki dan Abu
Yusuf, cara pemberian harta yang adil kepada anak-anak semasa hayat adalah
dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa membezakan antara anak lelaki
dan anak perempuan.
Sebaliknya, golongan Hanbali dan Muhammad bin
Hassan al-Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang dikehendaki dalam pemberian
adalah dengan mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu
bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan.
No comments:
Post a Comment