Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan
memenuhi rukun dan syaratnya serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang
(al-qabd), maka harta itu menjadi milik penerima hibah sekalipun tanpa balasan
(‘iwad).
Namun demikian, adakah hibah berkenaan boleh
ditarik balik selepas itu menjadi perselisihan di kalangan fuqaha. seperti
berikut:
i.
Menurut pendapat Mazhab Hanafi, pemberi hibah boleh tetapi makruh menarik balik
hibah yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun
telah berlaku penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).
ii.
Menurut pendapat Mazhab Syafii, Hanbali dan sebahagian fuqaha Mazhab Maliki
penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi
apabila disertakan dengan penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah
berkenaan tidak boleh ditarikbalik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa
(termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama
mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.
iii.
Menurut pendapat Imam Ahmad dan Mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh
(haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga
ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah
berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
Maksudnya:
“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik
muntahnya”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Secara umumnya, para fuqaha. bersetuju tentang
keharusan pembatalan hibah sekiranya ia dilakukan secara reda-meredai antara
pemberi dan penerima hibah atau melalui keputusan hakim.
Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah
yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain)
kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan syarat bahawa harta tersebut
masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya). Sekiranya harta itu terkeluar
dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti telah dijual, diwakaf
atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh penerima hibah
(orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi. Begitu juga
keadaannya hibah tidak boleh ditarikbalik atau dibatalkan sekiranya harta tersebut
telahpun berubah nilainya akibat penambaikan atau pembangunan dilakukan keatas
harta itu seperti semasa dihibahkan harta itu adalah tanah kosong tetapi
apabila hendak diambil balik ianya telah didirikan sebuah banglo diatasnya.
Salam Pengarang,
ReplyDeleteBolehkah saya tahu dari manakah dalil ini dipetik? Hanya untuk tujuan citation. Terima kasih.