Hibah Dalam Bentuk al-‘Umra dan al-Ruqba (Hibah Bersyarat)

Hibah Dalam Bentuk al-‘Umra dan al-Ruqba (Hibah Bersyarat)

Al ‘Umra bermaksud pemberian semasa tempoh hidup penerima hibah atau pemberi hibah dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah kematian penerima hibah. Al-‘umra juga bermaksud suatu pemberian yang bersifat sementara yang merujuk kepada hayat salah seorang sama ada pemberi hibah atau penerima hibah. Sekiranya penerima hibah meninggal dunia maka harta yang dihibahkan itu dikembalikan kepada pemberi hibah. Sebaliknya, jika pemberi hibah meninggal dunia maka harta hibah akan dikembalikan kepada waris pemberi hibah.

Contoh lafaz hibah al-’umra adalah seperti pemberi hibah berkata: “tanah ini aku berikan (hibahkan) kepada kamu semasa kamu hidup dan jika kamu mati maka harta itu kembali kepada aku jika aku masih hidup dan kepada waris aku jika aku telah mati”.

Manakala al-ruqba pula ialah pemberian dengan syarat kematian salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebagai syarat pemilikan kepada salah satu pihak yang hidup. Al-Ruqba juga bermaksud suatu pemberian bersyarat yang ditentukan oleh pemberi hibah, di mana harta hibah akan menjadi milik penerima hibah sekiranya pemberi hibah meninggal dunia. Tetapi jika penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah.

Contoh lafaz hibah al-ruqba adalah seperti pemberi hibah berkata: “Tanah ini aku berikan kepada kamu sebagai ruqba dan jika kamu mati dulu maka harta itu kembali kepada aku dan jika aku mati dulu maka harta itu untuk kamu”.

Para fuqaha. sepakat tidak mengharuskan hibah yang disyaratkan pemilikannya akan terlaksana pada suatu tempoh masa yang akan datang.

Majoriti (jumhur) ulamak berpendapat hibah yang bersifat sementara seperti hibah ‘umra dan ruqba adalah sah tetapi syaratnya terbatal. Mereka berhujah bahawa jika syarat itu terpakai maka ia bertentangan dengan kehendak akad hibah itu sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Peliharalah harta kamu dan janganlah kamu (menghibahkannya) secara ‘umra kerana sesungguhnya sesiapa yang (menghibah) sesuatu secara ‘umra, maka ia menjadi milik orang yang dihibahkan”. (Riwayat Muslim dan Abu Daud) 4 Sunan Muslim, kitab al-Hibat, hadis no. 4196.

Sebahagian daripada fuqaha Maazhab Hanbali, Imam Malik, Imam al-Zuhri, Abu Thur dan fuqaha lain serta qawl al-qadim Imam Syafie berpendapat bahawa hibah ‘umra adalah harus dan syaratnya sah jika tidak dinyatakan oleh pemberi hibah bahawa harta yang dihibahkan akan menjadi milik waris penerima hibah selepas kematian penerima hibah. Ini bermakna harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah selepas kematian penerima hibah.

Sementara pendapat lain pula mengambil pendekatan bahawa hibah yang bersifat sementara pada hakikatnya bukanlah hibah tetapi ia adalah ‘ariyah (peminjaman).

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mengharuskan hibah ‘umra tetapi tidak mengharuskan hibah ruqba. Pandangan mereka adalah dengan berpandukan kepada hadis Rasulullah SAW yang telah mengharuskan hibah ‘umra dan membatalkan hibah ruqba.

Namun hadis ini dikritik oleh Imam Ahmad kerana ia tidak diketahui kesahihannya. Mereka juga berpendapat bahawa hibah ruqba ialah hibah ta.liq ke atas sesuatu yang tidak jelas dari segi tempoh ia akan terlaksana.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa antara isu penting yang membawa perbezaan pandangan di kalangan fuqaha. tentang hibah ‘umra dan hibah ruqba adalah tertumpu kepada unsur hibah yang bersifat sementara dan hibah sesuatu yang dita’liqkan dengan hayat seseorang. Kedua-dua isu ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza di kalangan fuqaha.

Mazhab yang mengatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba tidak diharuskan adalah dengan berpandukan kepada hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Janganlah kamu memberi (hibah) sama ada secara ‘umra atau ruqba”. (Riwayat Muslim)  Sahih Muslim, kitab al-hibat, hadis no. 4202.

Mazhab yang mengharuskan hibah ‘umra dan hibah ruqba pula berhujah dengan hadis:


Maksudnya: “(Hibah) ‘umra dan ruqba adalah diharuskan bagi mereka”.  Sunan Abi Daud, bab man qala fihi wa li.aqibihi, hadis no. 3556.

No comments:

Post a Comment